BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Islamic Widget

Sunday, January 10, 2010

BERITA YG MENGGEMPARKAN..



ISTERI PARAH BAKAR DIRI

ALOR STAR: “Dalam keadaan badannya terbakar, saya nampak dia berlari sambil meraung kesakitan sebelum rebah,” kata Marzuki Jamaludin, 39, suami kepada Rosiana Rosli, 36, yang parah selepas membakar dirinya di depan rumah ibunya di Kampung Sungai Buaya, Bukit Panchor, Nibong Tebal, Pulau Pinang, malam kelmarin.

KENANG NASIB...enam daripada tujuh anak Rosiana bersama nenek mereka, Hasanah.
KENANG NASIB...enam daripada tujuh anak Rosiana bersama nenek mereka, Hasanah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, Rosiana melecur dari bahagian pinggang hingga kepala selepas bertindak nekad mencurah badannya dengan petrol sebelum membakar dirinya menggunakan api lilin.


Marzuki ketika ditemui, berkata beberapa jiran turut membantu memadamkan api pada badan isterinya itu sebelum dia rebah sambil meraung kesakitan.


“Dia merintih kesakitan dan saya memapahnya sehingga cebisan kulitnya turut terlekat pada seluar dan baju saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.


Marzuki bersama adik iparnya, Sazali Rosli, 34, kemudian membawa Rosiana ke Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal kira-kira jam 11 malam kelmarin sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang.


Bagaimanapun, Rosiana yang kritikal apabila lebih 50 peratus tubuhnya melecur dipindahkan ke Unit Rawatan Kebakaran, HSB, di sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.


Marzuki seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang di Nibong Tebal, berkata sebelum kejadian, dia dijemput Rosiana dengan motosikal kira-kira jam 8.30 malam dari tempat kerjanya kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.


Apabila tiba di rumah, Rosiana yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terus ke rumah ibunya, Hasnah Omar, 51, kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk memanggil pulang anak keduanya yang berusia 15 tahun.


Difahamkan, berlaku pertengkaran di antara Rosiana dengan anak serta ibunya menyebabkan dia bertindak nekad membakar dirinya. Mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan berikutan sikap anak perempuannya itu yang tidak mahu mendengar nasihatnya dan sering menimbulkan masalah.


Ketika kejadian, enam daripada tujuh anaknya yang berusia dua hingga 17 tahun turut berada di rumah.

Marzuki berkata, dia tidak nampak bagaimana kejadian itu berlaku dan hanya diberitahu adik perempuannya yang tubuh isterinya terbakar.


“Sebaik dimaklumkan kejadian itu, saya terus berlari ke rumah mentua dan mendapati tubuh Rosiana terbakar. Saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengannya dan hubungan kami juga baik,” katanya.


Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dipercayai tertekan dengan sikap degil anak perempuannya itu sebelum mengambil petrol lalu menyimbah ke badannya.


Beliau berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 12.40 malam mendapati kira-kira 54 peratus badan mangsa terbakar termasuk dahi dan dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang.


Mangsa kemudian dipindahkan ke Unit Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Shafien berkata, mangsa dari keluarga miskin mempunyai tujuh anak dengan anak sulung berusia 17 tahun manakala bongsu dua tahun.


“Masalah kemiskinan ditambah dengan sikap anak perempuannya yang degil dan kerap tidak pulang ke rumah menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan mendorongnya berbuat demikian,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.


0 comments: